Perpustakaan UMPSA Sumbang 363 Judul Bahan Hadiah Untuk Penubuhan Balai Persuratan Melayu Di Sekolah Darussalam Narathiwat, Thailand -12 Jun 2026

Perpustakaan UMPSA Sumbang 363 Judul Bahan Hadiah Untuk Penubuhan Balai Persuratan Melayu Di Sekolah Darussalam Narathiwat, Thailand -12 Jun 2026

PEKAN, 12 Jun 2026 - Perpustakaan UMPSA berbesar hati menerima pelawaan untuk turut sama menyumbang bahan hadiah bagi penubuhan Balai Persuratan Melayu di Sekolah Darussalam daerah Narathiwat, Thailand.

Sekolah Darussalam Narathiwat merupakan sebuah institusi pendidikan Islam terkemuka di Thailand yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan dan pendidikan masyarakat Islam yang meliputi wilayah-wilayah Selatan Thailand seperti Narathiwat, Pattani, Yala serta Bangkok dan beberapa kawasan di Utara Thailand.

Penubuhan Balai Persuratan Melayu ini bertujuan menjadikan sekolah tersebut sebagai hab rujukan, pembacaan dan pengembangan ilmu yang cemerlang dalam memartabatkan Bahasa Melayu serta memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan komuniti setempat.

Sebanyak 363 judul bahan bacaan yang terdiri daripada buku, majalah, kamus dan pelbagai bahan rujukan umum yang bersesuaian telah diserahkan kepada Muhammad Al-Jurjany Rashid selaku wakil kepada Pengetua, Nurihan Regma dan pihak sekolah.

Beliau menzahirkan rasa syukur dan berbesar hati menerima buku sumbangan bagi kegunaan pelajar di sekolah tersebut serta menyifatkan kerjasama ini dapat memanfaatkan usaha memperkukuh literasi, memperluas akses kepada ilmu pengetahuan serta mengeratkan hubungan pendidikan antara Malaysia dan Thailand.

Perpustakaan UMPSA melalui Unit Perolehan Koleksi (Hadiah) di bawah inisiatif sumbangan buku hadiah dengan tagline “Buku Lama Adalah Baru Bagi Yang Belum Membacanya” berfungsi menyokong tanggungjawab sosial korporat bagi pihak perpustakaan dan universiti.

Melalui inisiatif ini, Perpustakaan UMPSA berperanan mengumpul dan menyalurkan sumbangan buku serta bahan bacaan yang bersesuaian kepada pihak ketiga yang memerlukan sokongan seperti institusi berkaitan.

Orang ramai yang berminat menyumbang buku untuk dikongsi bersama dan memanfaatkan ganjaran pahala berterusan dialu-alukan untuk menghubungi pihak perpustakaan.

Maklumat lanjut berkaitan sumbangan buku sila layari portal Perpustakaan UMPSA https://library.umpsa.edu.my/index.php/en/giving atau menghubungi Kaunter Perkhidmatan Perpustakaan Kampus Pekan dan Gambang.


Disediakan oleh:
Puan Noor Azura Omar
Pustakawan

Print   Email