LibGO Pacu Transformasi Digital Perkhidmatan Perpustakaan UMPSA - 16 Jun 2026

LibGO Pacu Transformasi Digital Perkhidmatan Perpustakaan UMPSA - 16 Jun 2026

PEKAN, 16 Jun 2026 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan program Technology Update: Pemerkasaan Penggunaan Aplikasi LibGO dalam Perkhidmatan Perpustakaan di Eksekutif Lounge, Perpustakaan UMPSA Pekan sebagai usaha memperkukuh pengetahuan dan kemahiran warga perpustakaan dalam memanfaatkan aplikasi LibGO sebagai platform utama penyampaian perkhidmatan perpustakaan secara digital.

Program yang melibatkan semua staf Perpustakaan UMPSA itu menampilkan Pustakawan Kanan, Mohd Ariffin Abdul Aziz sebagai penceramah jemputan bagi berkongsi maklumat serta memberi penerangan mengenai fungsi, kaedah penggunaan dan kepentingan aplikasi LibGO dalam menyokong agenda transformasi digital perpustakaan.

Inisiatif ini juga selaras dengan keperluan semasa yang menekankan konsep mobile-first, perkhidmatan layan diri (self-service) dan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas serta mesra pengguna.

Melalui aplikasi LibGO, pengguna dapat mengakses pelbagai perkhidmatan perpustakaan pada bila-bila masa dan di mana sahaja menerusi peranti mudah alih.

Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai fungsi aplikasi LibGO termasuk carian bahan perpustakaan, peminjaman dan pembaharuan pinjaman buku, semakan status pemulangan, semakan serta pembayaran denda, di samping akses kepada maklumat dan sistem berkaitan perpustakaan melalui satu platform mudah alih.

Selain itu, sesi perkongsian turut menerangkan bagaimana aplikasi LibGO diintegrasikan dengan sistem pengurusan perpustakaan dan teknologi RFID UHF bagi menyokong pembangunan konsep Smart Library.

Integrasi ini membolehkan status bahan perpustakaan dikemas kini secara masa nyata, memudahkan pengesanan koleksi dan mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan layan diri.

Peserta turut mengikuti demonstrasi penggunaan aplikasi yang merangkumi proses log masuk menggunakan akaun UMPSA, pencarian bahan, peminjaman buku melalui imbasan kod bar, pembaharuan pinjaman serta semakan akaun pengguna.

Sesi ini memberi pendedahan praktikal kepada staf agar mereka lebih bersedia membantu pengguna dan mempromosikan penggunaan aplikasi tersebut.

Menurut Pembantu Pustakawan Kanan, Norsaini Abdul Samat, program perkongsian seperti ini amat bermanfaat dalam meningkatkan kefahaman staf terhadap aplikasi LibGO

“Perkongsian ini sangat bermanfaat kerana telah memberi pendedahan kepada staf perpustakaan supaya mampu menjawab segala persoalan daripada pengguna.

Katanya lagi, staf juga dapat menyebarkan kebaikan dan kelebihan aplikasi LibGo kepada pengguna lain terutama ketika sesi jerayawara dan sesi bertemu pelanggan.

Sementara itu, Mohd Ariffin turut berkongsi cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan LibGO, antaranya melibatkan isu log masuk, rangkaian dan integrasi sistem.

Beliau berharap agar semua staf dapat memainkan peranan aktif dengan menyalurkan cadangan serta maklum balas bagi menambah baik aplikasi tersebut demi meningkatkan pengalaman pengguna dan memperluas penggunaannya dalam kalangan warga universiti.

Penganjuran program ini diharap dapat memperkasakan peranan warga Perpustakaan UMPSA sebagai pemudah cara kepada pengguna, sekali gus menyokong aspirasi universiti dalam menyediakan perkhidmatan perpustakaan yang lebih inovatif, efisien dan berteraskan teknologi digital.

Disediakan oleh:
Noor Fateeha Mohamad
Pembantu Pustakawan

Disemak oleh:
Amelia Hasan
Pustakawan


Print   Email