Sumbangan Buku oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Rosli Abu Bakar: Koleksi Ilmu untuk Generasi Akan Datang - 30 April 2025
30 April 2025 - Perpustakaan berbesar hati menerima sumbangan buku daripada Prof. Dato’ Ts. Dr. Rosli Abu Bakar, bekas Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) yang telah bersara dan beberapa kali dilantik sebagai Profesor Pelawat di FTKMA, UMPSA. Selaras dengan jawatan dan tempoh pekerjaannya, beliau mempunyai koleksi buku dan tesis dalam pelbagai bidang seperti automotif, kalkulus, pemindahan haba dan jisim, termodinamik serta bahasa. Koleksi ini terdapat dalam bahasa Inggeris , Korea dan Melayu.
Unit Perolehan Koleksi bersama Unit Pengurusan Arkib telah bekerjasama untuk membuat proses mengenal pasti buku-buku yang bersesuaian serta masih relevan dari segi kandungan. Proses ini dijalankan di dua lokasi berbeza iaitu Bilik Profesor Tamu dan Bilik Tamu FTKMA, UMPSA Pekan. Pada 8 Mei 2025 proses memunggah dan mengangkut buku yang telah dipilih dianggarkan sebanyak 1155 judul ke Perpustakaan UMPSA Kampus Pekan.


Perpustakaan UMPSA melalui Unit Perolehan Koleksi (Hadiah) telah melaksanakan inisiatif sumbangan buku hadiah melalui tagline “Buku lama adalah baru bagi yang belum membacanya”. Inisiatif ini bertujuan untuk menambah koleksi dan berkongsi kandungan ilmu dari kandungan buku hadiah tersebut sesama pengguna perpustakaan. Perpustakaan amat mengalu-alukan sumbangan buku daripada warga universiti. Selain turut memanjangkan sumbangan buku yang bersesuaian kepada pihak ketiga yang telah membuat permohonan seperti institusi berdekatan, sekolah dan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Sumbangan buku hadiah ini merupakan satu bentuk penghargaan yang bukan sahaja bermakna tetapi juga memberi impak jangka panjang kepada perpustakaan dan penyumbang dari segi peruntukan kewangan, pertambahan koleksi, perkongsian ilmu dan memperoleh ganjaran pahala yang berterusan.
Rasulullah saw bersabda:
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ ، إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه
Terjemahannya: “Apabila manusia meninggal dunia terputuslah pahala amalannya kecuali daripada tiga sumber: Sedekah yang berterusan faedahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa kepadanya.”
(HR Muslim, bilangan (3092) daripada Abu Hurairah)


Disediakan oleh:Pn. Noor Azura Omar
Pustakawan Kanan
Disuntingkan oleh:
Pn. Affida Abu Bakar
Pustakawan Kanan
Unit Pendidikan & Penyelidikan