Perkongsian Ilmu: Pendedahan Asas Penterjemahan Perkasa Kemahiran Staf Perpustakaan UMPSA
Jumlah paparan: 8
Pekan, 8 Julai 2025 – Program perkongsian ilmu telah dilaksanakan di Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bertajuk “Penterjemahan Bermakna: Proses, Tujuan dan Ketepatan” yang melibatkan semua staf Perpustakaan UMPSA.
Program yang berlangsung di Bilik Eksekutif Lounge, Perpustakaan UMPSA dan secara dalam talian untuk staf perpustakaan Gambang telah dikendalikan oleh Pembantu Pustakawan Kanan Tertinggi, Hajjah Ratna Wilis Haryati Mustapa yang berpengalaman 25 tahun dalam bidang penterjemahan.
Beliau telah berkongsi mengenai perbezaan antara jurubahasa dan penterjemah.
Jurubahasa tugasnya untuk menyampaikan mesej secara lisan dan spontan seperti di mahkamah, sidang antarabangsa dan hospital, manakala penterjemah pula menterjemah kandungan bertulis dengan teliti dan terperinci seperti laporan, artikel dan dokumen rasmi.
Menurut beliau, antara panduan mudah dalam proses penterjemahan yang berkesan ialah baca dan faham kandungan yang perlu diterjemah, salin teks asal dan gunakan aplikasi yang sesuai untuk menterjemah, buat perbandingan antara teks asal dan teks yang telah diterjemahkan dan seterusnya sunting teks terjemahan tersebut.
“Sebelum memulakan proses menterjemah, kita perlu membaca berulang kali sumber teks tersebut supaya lebih faham dan penterjemahan tidak terpesong dari teks asal,” ujarnya.


Program perkongsian ilmu ini memberikan satu pengalaman baharu kepada staf perpustakaan dalam menambah pengetahuan dan juga memperkukuhkan kemahiran profesional.
Menurut salah seorang Pembantu Pustakawan, Nur Nadia Shahida Zakria perkongsian ini sangat bagus kerana penceramah berkongsi pengalaman beliau dan kita dapat mengetahui perbezaan antara perterjemah dan jurubahasa serta dapat memahami keseluruhan perkongsian ini.
Pustakawan Kanan, Nor Ashikin Ahmad turut memberikan maklum balas yang positif terhadap perkongsian pengalaman penceramah.
Beliau berkata, “Saya dapat mengetahui teknik-teknik, kaedah-kaedah dalam penterjemahan dan juga boleh kita gunakan dalam artikel akan datang”.
Ketua Pustakawan, Hajjah Kamariah Gono mengucapkan tahniah kepada Unit Pengurusan Ilmu kerana berjaya menganjurkan satu program yang belum pernah dilaksanakan yang mana memberi peluang kepada staf perpustakaan untuk memahami cara-cara terbaik untuk membuat terjemahan pada satu penulisan.
Beliau berkata, “apa yang dikongsi oleh Hajjah Ratna Wilis Haryati merupakan satu pengalaman yang bagus yang boleh dicontohi ataupun di ikuti oleh mana-mana staf yang berminat untuk membuat terjemahan”.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya menarik perhatian staf dan mencapai objektif penganjuran dengan memberi pendedahan yang berguna berkaitan asas penterjemahan.




Disediakan oleh:
Pn. Noor Fateeha Mohamad
Pembantu Pustakawan
Disunting oleh:
Cik Amelia Hasan
Pustakawan Kanan