Overthinking Tapi Buat-buat OK

Overthinking Tapi Buat-buat OK

Overthinking Tapi Buat-buat OK – Aqila Masri

ISBN : 9786297665177
Penerbit : Iman Publication Sdn Bhd
No. Panggilan : HD4904.25 .A45 2024
Tahun diterbitkan : 2024
Muka surat : 171
URL efind : https://efind.ump.edu.my/cgi-bin/koha/opac-detail.pl?biblionumber=102467

Dalam era moden yang serba pantas dan penuh cabaran, isu kesihatan mental semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda. Tekanan daripada media sosial, tuntutan akademik, kerjaya, serta perbandingan diri dengan orang lain sering kali menimbulkan gejala overthinking yang berpanjangan. Situasi ini bukan sahaja memberi kesan kepada emosi dan pemikiran, malah turut mempengaruhi kesejahteraan hidup secara keseluruhan.

Menyedari kepentingan untuk membincangkan isu ini secara lebih terbuka dan santai, penulis muda Aqila Masri tampil dengan karya Overthinking Tapi Buat-Buat Ok. Buku ini menghimpunkan refleksi, pengalaman, dan pandangan penulis mengenai kehidupan yang sarat dengan kerisauan tetapi tetap berusaha untuk kelihatan tabah. Ia hadir bukan sekadar sebagai bacaan ringan, tetapi sebagai teman yang memahami pembaca yang sering berdepan dengan perasaan tidak menentu.

Buku ini mengandungi tujuh bab meliputi overthinking dan emosi diri yang menerangkan bagaimana ia menjejaskan kehidupan seharian serta keyakinan diri, penenerimaan diri dari segi menghargai kelebihan dan kelemahan tanpa perlu membandingkan dengan orang lain, proses pemulihan bagaimana keperluan sokongan sosial dan kekuatan spiritual dalam membina ketabahan serta kesedaran emosi yang membenarkan diri untuk tidak sentiasa merasakan diri baik demi kesihatan mental yang seimbang.

Karya ini amat sesuai bagi mereka yang sering kali berfikir secara berlebihan, berulang dan berterusan terhadap satu perkara dalam jangka masa yang lama sehingga memberikan kesan buruk terhadap diri sendiri. Generasi kini sering dikaitkan dengan isu kesihatan mental, anxiety dan kecelaruan turut menjadi faktor yang menyumbang kepada overthinking dan akhirnya memudaratkan diri sendiri. Buku ini disyorkan kepada golongan remaja dan dewasa muda yang sedang berdepan dengan isu kerisauan dan tekanan fikiran, pembaca yang mencari motivasi dan sokongan emosi melalui bahan bacaan ringan dan individu yang ingin memahami serta menilai semula.

Gaya bahasa yang digunakan mudah difahami dan dekat dengan gaya hidup anak muda. Penulisan yang empati dan bersahaja membuatkan pembaca merasa difahami dengan situasi yang digambarkan. Beberapa bab turut disertakan dengan ilustrasi menarik yang membantu pemahaman, khususnya bagi pembaca visual.

Secara keseluruhannya, Overthinking Tapi Buat-Buat Ok merupakan sebuah karya yang bermanfaat dan penuh nilai kemanusiaan. Penulis berjaya menyampaikan mesej bahawa adalah normal untuk tidak sentiasa berada dalam keadaan baik dan penting untuk memberi ruang kepada diri sendiri untuk pulih. Ia adalah bacaan yang wajar dimiliki oleh mereka yang ingin mencari ketenangan, sokongan dan perspektif baharu dalam menguruskan kehidupan moden yang penuh cabaran.

Ringkasan buku oleh: Nor Ashikin Binti Ahmad, Pustakawan Kanan

Print   Email