Cara Terindah Untuk Mati

Cara Terindah Untuk Mati

Cara Terindah Untuk Mati – Rachmat Ramadhana Al-Banjari

ISBN : 9789670142623
Penerbit : PTS Pub. & Distr, 2011
No. Panggilan : BP166.815 .B36 2011
Tahun diterbitkan : 2011
Muka surat : 242

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan (Ali-Imran 3: 185). Semasa aku membaca buku ini dan apatah lagi selepas selesai aku membaca buku ini, aku terasa tersentak seperti masa hendak balik kepada Pencipta semakin hampir. Aku berdoa dan mengharap kepada Allah agar aku diberi kesempatan untuk menyelesaikan perkara-perkara yang tertangguh yang wajib aku melaksanakannya sepanjang hayatku.

Seperti yang kita ketahui kematian itu merupakan kiamat kecil yang dihadapi oleh setiap manusia bagi memasuki alam kubur dan alam barzakh. Yang bermaksud cara yang terindah untuk mati yang dinyatakan di dalam buku ini ialah husnul khatimah. Tiada insan yang tahu baki masanya di dunia ini. Setahun, sehari ataupun sesaat lagi. Tiada yang dapat menjangka dan tiada yang dapat merencanakannya. Baik orang biasa mahupun seorang ahli ulama’, sama sahaja batasnya.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaat pun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya". surah Yunus (10: 49)

Kita manusia, hanya dapat menerima mati seadanya. Mati itu pasti, maka hanya ada satu jalan. Moga-moga jalan yang akan datang tidak semestinya menyakitkan. Mari kita mati lalu menerusi alam kubur tanpa seksa. Mari kita mati dan melalui titian sirat serta Padang Mahsyar dengan tenang. Mari kita mati dan gembira bukan kepalang bertemu Allah serta Nabi kesayangan. Lalui cara terindah untuk mati, kemudian damailah kita kekal abadi.

Ringkasan buku oleh:  Mohd Amirul Bin Mohd Amin, Pembantu Pustakawan Kanan

Print   Email