Perkongsian Ilmu OSH Talk: Perlindungan untuk Semua, Pentingnya Keselamatan dan Gaya Hidup Sihat di Tempat Kerja - 17 Okt 2024
Dalam usaha meningkatkan kesedaran dan amalan keselamatan serta kesihatan pekerjaan (OSH), satu sesi perkongsian ilmu bertajuk “OSH Talk: Perlindungan untuk Semua – Pentingnya Keselamatan dan Gaya Hidup Sihat di Tempat Kerja” telah diadakan pada 17 Oktober 2024 (Khamis). Sesi ini dihadiri oleh pelbagai pihak termasuk majikan, pekerja, dan pakar keselamatan, dengan tujuan mempromosikan pemahaman mendalam mengenai perlindungan keselamatan di tempat kerja serta kepentingan gaya hidup sihat. Perkongsian ini disampaikan oleh penceramah jemputan, Puan Nurul Nadia Ummira Binti Abu Bakar, Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Pahang, yang merupakan pakar dalam bidang keselamatan pekerjaan dan kesihatan. Sesi ini berlangsung di Lounge Eksekutif Perpustakaan Pekan serta disiarkan secara langsung di Facebook Perpustakaan UMPSA, membolehkan lebih ramai warga kampus menyertainya melalui atas talian.
Sesi perkongsian ini menyentuh pelbagai aspek penting, termasuk:
1. Asas Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) - Perlindungan kepada Pekerja
OSH merupakan asas penting dalam memastikan pekerja dilindungi daripada sebarang bahaya di tempat kerja. Aspek pengurusan ini melibatkan strategi dan prosedur yang diwujudkan untuk mengurangkan risiko serta memastikan pekerja sentiasa berada dalam persekitaran yang selamat dan sihat.
2. Kesan Kemalangan di Tempat Kerja
Kemalangan di tempat kerja bukan sahaja menjejaskan individu tetapi juga organisasi secara keseluruhan. Kesan kepada pekerja termasuk kecederaan fizikal, trauma psikologi, dan dalam kes-kes yang lebih serius, hilang upaya atau kematian. Dari segi organisasi, kemalangan ini boleh menjejaskan produktiviti serta imej sesuatu organisasi.
3. Kerugian Akibat Kemalangan
Kerugian yang berpunca daripada kemalangan termasuk kos rawatan, hilangnya masa bekerja, dan kerosakan harta benda. Ini mengakibatkan beban kewangan kepada organisasi dan boleh menjejaskan keuntungan. Di samping itu, insiden kemalangan juga boleh mengurangkan keyakinan pekerja terhadap keselamatan di tempat kerja.
4. Kerugian kepada Pekerja dan Masyarakat
Pekerja yang cedera akibat kemalangan akan menghadapi kesan jangka panjang yang boleh mengganggu kehidupan seharian mereka dan menyebabkan tekanan kepada keluarga serta komuniti. Tambahan pula, masyarakat turut menanggung beban dalam bentuk kos rawatan dan sokongan sosial.
5. Jenis-jenis Hazard di Tempat Kerja
Perkongsian ini turut mengenalpasti pelbagai jenis hazard yang biasa dihadapi pekerja, termasuk hazard fizikal, kimia, biologi, ergonomik, dan psikososial. Pemahaman tentang jenis-jenis hazard ini penting untuk mengurus risiko secara lebih berkesan.
6. Kawalan Risiko di Tempat Kerja
Langkah-langkah kawalan risiko adalah penting dalam memastikan hazard di tempat kerja dikendalikan dengan baik. Ini termasuk penggunaan alat perlindungan diri (PPE), latihan kesedaran keselamatan, dan perubahan pada persekitaran kerja. Kawalan risiko yang efektif dapat mengurangkan kebarangkalian berlakunya kemalangan dan kecederaan.
7. Pelan Tindakan Kecemasan
Bagi mengatasi situasi kecemasan, pelan tindakan yang jelas dan teratur diperlukan. Ini meliputi persiapan latihan kecemasan secara berkala, penyediaan peralatan keselamatan, serta arahan khusus untuk pekerja semasa menghadapi kecemasan. Pelan ini penting bagi memastikan semua pekerja tahu apa yang perlu dilakukan dan dapat bertindak dengan pantas jika berlaku insiden.
Sesi OSH Talk ini diharapkan mampu memberi kesedaran kepada semua pihak tentang pentingnya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Dengan adanya inisiatif seperti ini, pekerja dan majikan dapat bekerjasama dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat untuk kesejahteraan bersama.
Disediakan oleh:
Wan Nurulhuda Wan Zakaria
Penyelaras JKKP Perpustakaan UMPSA
Disemak oleh:
Cik Amelia Hasan,
Pustakawan