Kelas Pendidikan Pengguna Pangkalan Data Perkukuh Literasi Maklumat Warga UMPSA - 30 Okt 2025

Kelas Pendidikan Pengguna Pangkalan Data Perkukuh Literasi Maklumat Warga UMPSA - 30 Okt 2025

PEKAN, 3 November 2025 – Sempena Minggu Penyelidikan Perpustakaan UMPSA 2025, Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan siri Kelas Pendidikan Pengguna Pangkalan Data bagi memperkukuh kemahiran literasi maklumat dalam kalangan pelajar dan staf universiti.

Program ini memberi tumpuan kepada pengenalan dan latihan penggunaan pangkalan data langganan utama universiti seperti AccessEngineering, IEEE Xplore, ICE Publishing, Emerald Insight dan ScienceDirect, yang menjadi sumber rujukan penting dalam bidang kejuruteraan, teknologi, sains dan pengurusan.

Menurut Amelia Hasan, salah seorang peserta program, penganjuran kelas ini amat bermanfaat kerana dapat menambah pengetahuan berkaitan koleksi buku elektronik terkini yang dilanggan oleh perpustakaan.

“Melalui kelas ini, saya mendapat maklumat tambahan mengenai buku-buku elektronik baharu yang dibeli atau dilanggan oleh perpustakaan.

“Selain itu, saya juga memperoleh maklumat baharu tentang cara mengakses pangkalan data ICE melalui platform Emerald Insight,” ujar beliau selepas selesai menghadiri kelas secara dalam talian.

Kelas yang dikendalikan oleh wakil pengajar daripada pihak penyedia pangkalan data ini turut melibatkan sesi latihan praktikal secara langsung dalam talian.

Peserta diajar cara menavigasi pangkalan data, menapis hasil carian, memuat turun artikel teks penuh serta mengurus bahan rujukan menggunakan alat sokongan penyelidikan.

Penganjuran kelas ini mencerminkan komitmen Perpustakaan UMPSA dalam memperkukuh kecekapan literasi maklumat dan kemahiran penyelidikan warga universiti.

Melalui inisiatif berterusan seperti ini, perpustakaan terus memainkan peranan penting sebagai pusat rujukan dan pembelajaran yang menyokong keperluan akademik serta penyelidikan di UMPSA.


Di sediakan oleh;
Pn. Nor Ashikin Ahmad
Pustakawan Kanan

Cetak   Emel