Cikgu Bankrap
“Cikgu Bankrap” - Zaharoh Fajar Nina
ISBN : 9789672038559
Penerbit : Must Read Sdn. Bhd.
No. Panggilan : LA2301 .Z34 2018 k
Tahun diterbitkan : 2018
Muka surat : 247 p.
URL efind : https://efind.ump.edu.my/cgi-bin/koha/opac-detail.pl?biblionumber=89977
Ringkasann buku oleh: Puan Noor Fateeha Binti Mohamad, Pembantu Pustakawan
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Melalui buku ini, penulis menceritakan pengalaman hidup beliau dalam menjadi seorang guru ataupun pendidik anak bangsa. Secara umumnya, buku ini sesuai untuk dibaca oleh pendidik, bakal pendidik dan mereka yang mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang pendidik serta sesuai juga kepada ibu bapa dan masyarakat untuk lebih memahami dunia pendidik. Perkongsian penulis yang pernah mengajar sebagai guru mengaji ke rumah, tadika, guru prasekolah dan sekolah harian kampung dan bandar menjadikan buku ini lebih menarik untuk diterokai.
Sesungguhnya, menjadi pendidik kepada anak-anak kecil memerlukan dua perkara iaitu cinta dan kesungguhan. Hal ini kerana jiwa anak-anak kecil ini masih lagi rapuh yang mana memerlukan lebih perhatian iaitu kasih sayang tetapi kasih sayang sahaja tidak cukup tanpa ilmu pendidikan yang tepat. Anak-anak kecil sentiasa mempunyai persoalan dalam fikiran mereka serta mereka lebih belajar daripada perkara yang mereka lihat dan dengar. Namun, segala kesabaran seorang guru terbalas apabila mendengar doa untuknya daripada anak kecil itu. Melalui pengalaman ini, penulis mendapat dua pengajaran iaitu sedekah paling besar seorang guru ialah guru perlu ikhlas dalam melaksanakan tugas dan doa daripada anak didik mungkin lebih mustajab dalam mambantu seorang guru keluar daripada kebuntuan dan kekeliruan.
Pelajar datang dari pelbagai latar belakang iaitu terdiri daripada keluarga kaya dan miskin serta turut berbeza sekiranya pelajar itu pelajar luar bandar ataupun bandar. Sudah tentu cara didikan dan pembawakan mereka juga berbeza. Justeru, sebagai seorang pendidik, kita tidak boleh menghakimi mereka terlalu awal tanpa usul periksa. Tugas seorang pendidik bukan sahaja mendidik dalam ilmu pengetahuan tetapi turut menggalas tugas berat dalam membentuk sahsiah diri pelajar. Hal ini dikongsikan oleh penulis antara cabaran sebagai guru baru di sekolah baru bukan sekadar berdepan dengan ragam pelajar tetapi turut berdepan dengan rakan sekerja iaitu guru-guru lama yang menolak ruang perbincangan bagi pembaharuan yang dibawa oleh seorang guru baru. Namun semangat penulis tidak pudar malah menganggapnya sebagai motivasi dalam merealisasikan sasaran sederhana untuk menjadi guru baru yang berjasa.
Disamping itu, penulis tidak menafikan bahawa kerja sebagai guru amat meletihkan. Guru bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu tetapi turut menggalas tugas lain seperti menyediakan pelbagai modul berkaitan, membantu melaksanakan program di sekolah dan membawa pelajar keluar untuk pelbagai aktiviti. Pernah hati berasa cukup dan ingin mengalah tetapi penulis kembali berpegang pada Surah Al-Insyirah 94: ayat 7 “Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain).” Justeru, setelah selesai sebuah tugas yang baik maka perlu kita menyambung lagi dan lagi. Jadi, bilakah saat rehat seorang guru? Rehat sebenar apabila kematian menjemput.
Kesimpulannya, guru yang memilih sama ada menjadi seorang guru yang ‘kaya’ atau ‘bankrap’. Guru memilih sama ada pekerjaan ini satu pilihan atau bebanan. Tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi perlu mengisi kekosongan rohaniah pelajar-pelajar supaya menjadi insan yang berjaya dan berakhlak mulia. Tugas seorang guru amat berat iaitu menjadi contoh kepada pelajar. Sekiranya seorang guru tersasar dari landasan, maka rosaklah anak bangsa. Justeru, buku ini wajar menjadi rujukan kepada bakal pendidik negara.