Sembang santai perpustakaan bincang hala tuju lepasan SPM bersama UMPSA - 6 April 2026
Hits: 2





Pekan, 6 April 2026 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan sesi podcast bertajuk “Sembang Santai: Ilmu, Buku dan Inspirasi – Lepas SPM Ke Mana? Jom Bina Masa Depan Gemilang Bersama UMPSA” yang berlangsung di Studio Hab Digital Inklusif, Pusat Perkhidmatan Inklusif dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Perpustakaan UMPSA.
Program ini menampilkan panel jemputan, Zainal Bahari, Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik UMPSA, manakala sesi dikendalikan oleh hos, Pembantu Pustakawan Kanan, Norsaini Abdul Samat.
Perbincangan santai namun padat dengan informasi ini bertujuan memberi panduan dan pencerahan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam merancang hala tuju pendidikan mereka bersama UMPSA.
Menurut Zainal, permohonan melalui Unit Pusat Universiti (UPU) bukan sahaja terbuka kepada lepasan SPM tahun 2025, malah turut melibatkan lepasan SPM bagi tahun 2023 dan 2024.
Menariknya, pelajar daripada aliran bukan STEM termasuk aliran Kemanusiaan, Sastera dan Ikhtisas (KSI) juga berpeluang memohon program yang ditawarkan di UMPSA.
Beliau turut menasihatkan pelajar agar tidak memilih program pengajian hanya berdasarkan pengaruh rakan sebaya, sebaliknya perlu menilai minat diri serta menyemak syarat kemasukan bagi setiap program yang ditawarkan.
Perkongsian itu turut menyentuh kekuatan UMPSA sebagai universiti teknikal yang memfokuskan bidang kejuruteraan dan teknologi, selaras dengan keperluan industri serta aspirasi negara melalui pelan perindustrian nasional.
Katanya, kelebihan tersebut menjadikan graduan UMPSA lebih kompetitif menerusi gabungan ilmu teori dan kemahiran praktikal yang memenuhi kehendak pasaran pekerjaan semasa.
Statistik juga menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan UMPSA mencecah 99.1 peratus, sekali gus membuktikan keupayaan universiti dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi.
Pelajar daripada program asasi dan diploma turut berpeluang menyambung pengajian ke peringkat ijazah di UMPSA, di samping menikmati pelbagai inisiatif kebajikan melalui Yayasan UMPSA bagi membantu pelajar yang memerlukan.
Dari aspek pembangunan pelajar pula, UMPSA menyediakan Akademi ADAB bagi melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.
Kemudahan pembelajaran seperti Perpustakaan UMPSA juga kini berkonsepkan digitalisasi menerusi aplikasi LibGO yang membolehkan pelajar mengakses pelbagai perkhidmatan seperti pinjaman, pemulangan, tempahan bahan dan pembayaran denda secara dalam talian.
Sementara itu, hos program, Norsaini Abdul Samat berjaya mengemudi sesi dengan gaya santai dan interaktif, sekali gus menjadikan perbincangan lebih mudah difahami oleh penonton khususnya pelajar lepasan SPM dan ibu bapa.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program serta syarat kemasukan ke UMPSA boleh melayari laman sesawang rasmi di study.umpsa.edu.my.
Program ini diharapkan dapat membantu pelajar membuat keputusan yang lebih tepat dalam merancang masa depan pendidikan dan kerjaya mereka, selaras dengan keperluan industri masa kini.
Disediakan oleh:
Puan Noor Fateeha Mohamad
Pembantu Pustakawan
Disediakan oleh:
Puan Noor Fateeha Mohamad
Pembantu Pustakawan


