Kelas Pengurusan Rujukan dengan Mendeley Menggunakan Gaya Penulisan (APA) Perpustakaan UMPSA Bersama Pelajar UHL2422 (English for Technical Communication, Pusat Bahasa Moden) - Mei 2024

Kelas Pengurusan Rujukan dengan Mendeley Menggunakan Gaya Penulisan (APA) Perpustakaan UMPSA Bersama Pelajar UHL2422 (English for Technical Communication, Pusat Bahasa Moden) - Mei 2024

Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima jemputan untuk mengadakan Kelas Mengurus Rujukan Dengan Mendeley menggunakan Gaya Penulisan (APA) untuk pelajar kursus UHL2422 English for Technical Communication dari Pusat Bahasa Moden. Kelas ini bertujuan untuk membantu pelajar menguasai kemahiran mengurus dan menyusun rujukan akademik menggunakan perisian Mendeley serta menggunakan gaya penulisan American Psychological Association (APA).


Sesi yang berlangsung selama dua jam ini dikendalikan oleh Pustakawan dari Unit Penyelidikan Dan Pendidikan (UPEN) Perpustakaan UMPSA. Program ini telah diadakan di Perpustakaan UMPSA Gambang sebanyak 4 sesi dan 2 sesi di Perpustakaan UMPSA Pekan serta 1 sesi diadakan secara dalam talian.


Sepanjang sesi dijalankan, pelajar diberikan pendedahan mengenai kepentingan pengurusan sumber rujukan dengan sistematik dalam penulisan akademik. Pelajar juga diajar cara-cara menggunakan Mendeley untuk mengurus rujukan, menyimpan artikel, dan menghasilkan bibliografi mengikut format APA.

Image
Image

Kelas ini juga menyediakan latihan praktikal di mana pelajar dapat memuat turun dan memasang perisian Mendeley, mengimport artikel jurnal dan buku, serta mengintegrasikan Mendeley di perisian Microsoft Word untuk memudahkan proses penulisan dan menjana sumber rujukan. Ini akan membantu pelajar menguruskan rujukan dengan lebih efisien tanpa perlu risau tentang penyusunan rujukan secara manual.

Salah seorang pelajar yang telah ditemu bual berkata, "Bengkel ini sangat membantu kami dalam mengurus rujukan dengan lebih teratur. Kemahiran yang dipelajari sangat berguna terutama bagi kami yang sedang menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah."

Dengan terlaksananya sesi ini, diharapkan para pelajar akan lebih bersedia dan yakin dalam menghasilkan penulisan berkualiti tinggi serta mematuhi piawaian akademik yang ditetapkan. Perpustakaan UMPSA juga bersedia menerima jemputan dari fakulti untuk mengadakan sesi latihan dan bengkel yang bermanfaat untuk menyokong pembelajaran dan pembangunan pelajar.

Image
Image

Disediakan oleh:

En. Shahril Johari,
Pembantu Pustakawan

Disunting oleh:


Pn. Affida Abu Bakar,
Pustakawan Kanan

Cetak   Emel