DYNAMES Perpustakaan UMPSA Raih Anugerah Harapan dan Penarafan Emas Sempena Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Horizon Baharu UMPSA 2025 - 19 Nov 2025

DYNAMES Perpustakaan UMPSA Raih Anugerah Harapan dan Penarafan Emas Sempena Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Horizon Baharu UMPSA 2025 - 19 Nov 2025

GAMBANG, 19 November 2025 – Kumpulan Dynames yang mewakili Perpustakaan UMPSA telah menyertai Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Horizon Baharu UMPSA 2025 bertempat di Dewan Astaka, UMPSA Gambang.

Seramai 15 kumpulan dari pelbagai jabatan dan fakulti telah bertanding dalam Konvensyen KIK 2025 anjuran Pusat Pengurusan Strategi dan Kualiti (PPSK).

Antara Kategori Anugerah yang disediakan oleh penganjur seperti Anugerah Sijil Penarafan, Anugerah Khas Juri, Anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Harapan, Pemenang Tempat Ketiga, Naib Johan dan Johan.

Selain itu, empat anugerah pilihan penonton turut dipertandingkan iaitu Anugerah Kumpulan Popular, Anugerah Montaj Terbaik, Anugerah Prop Persembahan Terbaik dan Anugerah Slaid Terbaik.

Kumpulan Dynames telah berjaya merangkul Anugerah Harapan dan menerima Anugerah Penarafan EMAS hasil pembentangan projek inovasi bertajuk VoltzLink – Pengecasan Pantas Soket USB Type A dan C.

Projek ini dilaksanakan bagi menangani isu perkhidmatan peminjaman wayar penyambung yang terpaksa dihentikan selepas banyak soket mengalami kerosakan walaupun telah dibaiki dan diganti baharu.

Melalui projek VoltzLink, soket pengecasan pantas USB Type A dan C kini ditempatkan di Bilik Perbincangan 5 & 6 Perpustakaan UMPSA Pekan bagi membolehkan pengguna menjimatkan masa pengecasan peranti seterusnya meningkatkan penggunaan fasiliti bilik perbincangan.

Ketua Kumpulan Dynames, Muhammad Hanafiah Abd Aziz menyatakan bahawa kefahaman dalam KIK Horizon Baharu amat penting bagi melancarkan proses penyediaan buku, slaid dan pencarian bukti bagi data-data yang dinyatakan.

“Produk yang berkualiti dan memberi impak menyeluruh merupakan antara faktor yang, pada hemat beliau, mampu mengangkat sesebuah pasukan ke kelompok pemenang utama,” tambah beliau lagi.

Tahniah diucapkan kepada Muhammad Hanafiah Abd Aziz, Noor Fateeha Mohamad, Baizlinda Azlin Jasni, Mohammad Dzulazlan Azha, Hairilamri Ibrahim, Neng Sury Sulaiman dan Nurulaida Abdul Shukor atas kejayaan mereka sebagai ahli Dynames.

Kejayaan Dynames membuktikan bahawa komitmen, kreativiti dan kerjasama berpasukan mampu mencipta impak positif serta menyumbang kepada kecemerlangan UMPSA secara keseluruhan.

Di sediakan oleh;
Pn. Noor Fateeha Mohamad
Pembantu Pustakawan

Cetak   Emel