Transformasi Perkhidmatan Perpustakaan UMPSA: Perkasa Kemahiran Demi Layanan Mesra & Selesa - 26 Ogos 2025
Jumlah paparan: 68
Pekan, 26 Ogos 2025 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan program perkongsian ilmu bertajuk Ke Arah Transformasi Perkhidmatan Perpustakaan yang melibatkan semua staf perpustakaan.
Program yang berlangsung di Bilik Seminar 2, Perpustakaan UMPSA Pekan serta secara dalam talian bagi staf di kampus Gambang ini telah dikendalikan oleh Pembantu Pustakawan iaitu Nor Nadia Shahida Zakria, Neng Sury Sulaiman, Norashikin Nordin dan Nurul Hamira Abd Razak.
Perkongsian ilmu dan pengalaman hasil daripada kursus yang diikuti di Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka yang bertujuan meningkatkan kemahiran perkhidmatan pelanggan dalam kalangan staf sokongan.
Antara inti pati perkongsian adalah penekanan terhadap konsep suka dan selesa sebagai aspek penting dalam menarik minat pengguna terhadap perkhidmatan perpustakaan.
Suka mencerminkan kepuasan pelanggan terhadap layanan mesra staf perpustakaan, manakala selesa merujuk kepada pengalaman positif pengguna ketika menggunakan kemudahan perpustakaan.
Penjagaan emosi diri adalah penting kerana emosi yang stabil mampu mempengaruhi reaksi, keputusan serta tingkah laku dalam memberikan layanan kepada pengguna.


Mereka juga mengetengahkan teknik penghasilan kandungan kreatif untuk media sosial sebagai medium promosi, pengumuman serta membina komuniti maya.
Program ini memberi suntikan semangat kepada staf pelaksana untuk lebih berkeyakinan berkongsi ilmu dan maklumat yang diperoleh, sekali gus meningkatkan keupayaan komunikasi dan penyampaian.
Menurut Penolong Pustakawan, Rosfadilla Mohamad Zainun, perkongsian ini wajar diteruskan kerana ia memberi peluang kepada staf pelaksana untuk berucap di hadapan khalayak dan meningkatkan keyakinan diri.
Sementara itu, Pembantu Pustakawan Kanan, Mohd Esuadi Mustaffa, berpandangan program ini dapat menonjolkan sikap positif dan keyakinan diri serta memberi ruang kepada staf untuk berkongsi ilmu hasil daripada kursus yang telah dihadiri.
Timbalan Ketua Pustakawan, Rohaida Mohamad Idaris turut memberikan maklum balas positif.
“Saya rasa satu perkongsian yang bagus sebabnya kita boleh menjimatkan masa, instead kita nak bagi semua pergi, kita wakilkan 4 orang dan 4 orang tu boleh sharing dengan kita.
“Jadi kita termaklum juga la apa perkara yang mereka pergi kursus tu”, ujarnya lagi.
Beliau menambah, sesi perkongsian ini adalah baik untuk semua staf perpustakaan dan boleh diteruskan pada masa akan datang.




Disediakan oleh:
Pn. Noor Fateeha Mohamad
Pembantu Pustakawan
Disunting oleh:
Cik Amelia Hasan
Pustakawan Kanan