Perpustakaan UMPSA Kampus Gambang Laksana Projek Rain Root Sebagai Inisiatif Inovasi Hijau
Dengan slogan “Catch the Drip, Grow the Green”, projek Rain Root kini menjadi kemudahan baharu kepada pengguna perpustakaan.
Kemudahan ini telah dihasilkan dengan pelbagai ciri khusus seperti ruang untuk payung panjang, tempat simpanan payung lipat dan ruang khas bagi payung yang tidak boleh digantung atau dilipat.
Setiap rak dilengkapi dengan pasu tanaman untuk menadah air hujan yang menitis daripada payung ke dalam pasu-pasu tanaman yang diletakkan di bawah rak tersebut. Ianya secara tidak langsung menyokong pertumbuhan pokok secara semulajadi.


Menariknya, semua bahan yang digunakan untuk projek ini adalah daripada barangan terpakai dan bahan kitar semula sepenuhnya.
Pendekatan ini seiring dengan komitmen terhadap inisiatif amalan hijau serta menyokong pelaksanaan Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) 13:
Tindakan Iklim khususnya dalam aspek pengurangan penggunaan sumber air dan kesedaran iklim dalam persekitaran kampus dapat dipraktikkan.
Inovasi ini juga mencerminkan usaha perpustakaan dalam mengamalkan EKSA yang menitikberatkan aspek kebersihan, susun atur dan amalan kelestarian
Menurut Nurul Nadira Sulaiman, pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), “Kemudahan simpan payung ini sangat menarik dan memudahkan pelajar kerana mereka tidak lagi perlu meletak payung di merata tempat
“Saya juga suka konsep guna air hujan untuk siram pokok yang kreatif dan mesra alam”, ujarnya lagi.
Kempen kesedaran melalui poster dan video turut dilaksanakan bagi menyokong pembudayaan kelestarian dan memberi pendedahan kepada warga kampus mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar.
Rain Root kini tersedia sebagai salah satu kemudahan sokongan di Perpustakaan UMPSA Kampus Gambang dan terus dimanfaatkan oleh pengguna perpustakaan serta warga kampus.




Disediakan oleh:
Pn. Wan Rosnur Irma Wan Mohamad
Pembantu Pustakawan
Penyelaras EKSA, Perpustakaan Gambang
Disunting oleh:
Pn. Affida Abu Bakar
Pustakawan Kanan