Library Outreach 2024: Menghubungkan Pelajar dan Pensyarah dengan Sumber Perpustakaan UMPSA Pekan - 6 Disember 2024
6 Disember 2024 – Perpustakaan UMPSA Pekan telah menganjurkan Library Outreach 2024 di Ruang Legar, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE). Program ini berjaya dilaksanakan melalui kolaborasi antara beberapa unit di Perpustakaan UMPSA Pekan, termasuk Unit Pendidikan dan Penyelidikan, Unit Pengurusan Ilmu, Unit Perkhidmatan Pelanggan, serta Unit Data Penerbitan dan Statistik Perpustakaan. Seramai 56 peserta, terdiri daripada pelajar dan pensyarah, telah menghadiri program ini yang berlangsung selama 3 jam bermula pada pukul 9.00 pagi.
Antara objektif utama program ini diadakan adalah memperkenalkan perkhidmatan perpustakaan, meningkatkan kesedaran literasi maklumat, menggalakkan penggunaan sumber digital dan menyokong keperluan akademik dan penyelidikan. Bagi merealisasikan objektif yang telah ditetapkan, pelbagai aktiviti telah dirancang semasa program ini berlangsung termasuklah sesi penerangan mengenai perkhidmatan kemudahan dan sumber yang tersedia di perpustakaan, memperkenalkan pangkalan data elektronik, jurnal digital, buku elektronik dan perisian penyelidikan yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti fakulti. Selain itu, staf turut memberikan khidmat nasihat individu berkaitan penghantaran bahan ke UMPSA-IR dan semakan researcher ID.


Unit Perkhidmatan Pelanggan turut mengambil peluang untuk mengedarkan kod QR kajian kepuasan pelanggan Perpustakaan 2024 yang sedang dijalankan di kalangan para pengunjung. Perpustakaan UMPSA Pekan menyediakan cenderamata kepada pengunjung yang hadir sebagai tanda terima kasih dan penghargaan.
Program Library Outreach ini merupakan satu langkah strategik untuk memastikan setiap pelajar mendapat maklumat berkaitan dan akses penuh kepada perkhidmatan perpustakaan seterusnya memperkukuhkan sokongan akademik kepada mereka. Disamping itu juga, program ini membantu menjadikan perpustakaan sebagai rakan strategik dalam mendukung kecemerlangan pelajar dan penyelidik fakulti.
Usaha ini mencerminkan komitmen Perpustakaan UMPSA Pekan untuk terus menjadi pemangkin kecemerlangan akademik dan penyelidikan serta rakan strategik yang relevan bagi pelajar dan pensyarah. Program seperti ini akan diteruskan dan diperkasakan lagi pada masa akan datang agar manfaatnya dapat dinikmati dengan lebih meluas.


Disediakan oleh:Pn. Nor Ashikin Ahmad,
Senior Librarian
Disunting oleh:Cik Amelia Hasan,
Pustakawan