UMPSA-IR, Mendeley & Turnitin: Panduan Penyelidikan untuk Warga PBM Pustakawan UMPSA Kongsi Ilmu bersama Staf Pusat Bahasa Moden - 2 Okt 2025
Jumlah paparan: 44




PEKAN, 9 Oktober 2025 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima jemputan daripada Pusat Bahasa Moden (PBM) bagi menjayakan Program Perkongsian Ilmu Bersama Perpustakaan UMPSA yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Fakulti, PBM Pekan.
Program ini bertujuan memperkukuhkan kefahaman warga PBM terhadap perkhidmatan UMPSA Institutional Repository (UMPSA-IR) serta memberi pendedahan tentang penggunaan Mendeley dan Turnitin sebagai alat sokongan akademik dalam pengurusan penerbitan ilmiah.
Timbalan Ketua Pustakawan, Amelia Hasan dan Pustakawan Kanan, Affida Abu Bakar, telah berkongsi ilmu dan panduan secara hands-on kepada 39 orang staf PBM yang hadir.
Peserta dibimbing secara langsung bagaimana cara log masuk ke akaun pengguna UMPSA-IR juga panduan mengemaskini profil dan maklumat penyelidik serta tentang proses mendeposit bahan ke dalam UMPSA-IR.
Selain itu, peserta turut diperkenalkan kepada kaedah pencarian maklumat dalam UMPSA-IR bagi memudahkan capaian kepada artikel jurnal, laporan penyelidikan, dan kertas persidangan.
Fokus lain perkongsian turut memberi tumpuan kepada teknik berkesan pencegahan plagiarisme menggunakan aplikasi turinitin serta pengurusan sumber rujukan penerbitan dengan mengunakan Mendeley.
Menurut Guru Bahasa dan penyelaras program, Kang Mei Feng, pihaknya menghargai usaha, komitmen dan ilmu yang telah disampaikan oleh pustakawan UMPSA.
“Saya percaya sesi ini telah membuka ruang pemahaman yang lebih luas serta meningkatkan keyakinan kami dalam mengaplikasikan penggunaan UMPSA-IR, Mendeley dan Turnitin dengan lebih berkesan.
“Perkongsian yang jelas serta bimbingan hands-on secara langsung telah memberi banyak manfaat kepada semua peserta,” katanya.
Sementara itu, Amelia Hasan berpandangan ini adalah peluang untuk Perpustakaan UMPSA berkongsi sedikit pengalaman dan ilmu tentang sistem-sistem di Perpustakaan seperti UMPSA-IR, Mendeley dan Turnitin.
"Seronok melihat semangat peserta yang sangat aktif bertanya dan memberi maklum balas positif,” ujarnya.
Beliau turut menambah bahawa perkongsian seumpama ini diharap dapat memberi manfaat dan membantu dalam pengurusan penerbitan akademik warga PBM pada masa hadapan.
Di sediakan oleh;
Cik Amelia Hasan dan Pn. Affida Abu Bakar
Pustakawan
Di sediakan oleh;
Cik Amelia Hasan dan Pn. Affida Abu Bakar
Pustakawan