Penyuluh buat penuntut

Penyuluh buat penuntut

Penyuluh buat penuntut’ – edited by Dr. Ayman Al-Akiti

ISBN : 9789830979267
Penerbit : Galeri Ilmu
No. Panggilan : BP163.P46 2021
Tahun diterbitkan : 2021
Muka surat : 158
URL efind : https://efind.ump.edu.my/cgi-bin/koha/opac-detail.pl?biblionumber=97603

Buku hasil tulisan Dr. Ayman Al-Akiti ini merupakan karya motivasi dan bimbingan yang khusus kepada penuntut ilmu dalam lingkungan pendidikan Islam dan institusi pengajian tinggi. Buku ini bukan sahaja bersifat motivasi tetapi juga menyampaikan nasihat berlandaskan agama, akhlak dan pengalaman. Idea utama buku ini berkisar pada konsep adab dalam menuntut ilmu, pentingnya niat yang betul serta disiplin ilmu dalam kerangka Islam. Penulis menekankan bahawa kecemerlangan akademik bukanlah semata-mata ukuran kejayaan tetapi yang lebih penting ialah pencapaian dari sudut rohani, akhlak dan keikhlasan dalam menuntut ilmu.

Buku ini mengandungi lima buah bab dengan didahului dengan bab pertama yang menekankan kepentingan niat yang betul dalam menuntut ilmu. Dr. Ayman mengingatkan bahawa menuntut ilmu adalah satu ibadah dan niat yang salah akan menjejaskan keberkatan ilmu. Dalam bab kedua pembaca dibimbing mengenai adab-adab terhadap guru, rakan seperjuangan dan terhadap ilmu itu sendiri. Adab digambarkan sebagai asas kejayaan dan keberkatan dalam menuntut ilmu. Penulis juga mengkritik sikap pelajar moden yang cenderung kurang sopan dan tergesa-gesa dalam menuntut ilmu.

Seterusnya, dalam bab ketiga Dr. Ayman mengajak pembaca membezakan antara ilmu yang berguna dan ilmu yang membinasakan. Beliau mengangkat nilai ilmu yang membawa kepada perubahan akhlak dan peningkatan iman dan bukan sekadar pengetahuan teori. Manakala bab keempat membahaskan tekanan, gangguan digital, sikap sambil lewa dan kehilangan arah dalam kalangan pelajar masa kini. Penulis tidak hanya mengkritik tetapi turut memberi solusi termasuk kembali kepada sumber ilmu tradisional dan mendampingi ulama.

Bab terakhir mengajak pembaca merenung semula tujuan sebenar menuntut ilmu. Ia memberi penekanan kepada usaha berterusan, doa, menjaga hubungan dengan ibu bapa dan guru serta menghindari riak dalam pencapaian akademik.

Bahasa yang digunakan oleh Dr. Ayman adalah mudah difahami dengan elemen retorik yang kuat dan kadangkala berbentuk puitis. Gaya penulisannya menyentuh emosi pembaca terutama apabila membicarakan soal niat, keikhlasan dan kepentingan keberkatan ilmu. Terdapat juga rujukan kepada tokoh-tokoh ulama besar dan karya klasik yang menambahkan lagi kredibiliti buku ini dari segi intelektual dan spiritual.

Secara keseluruhan, Penyuluh Buat Penuntut merupakan karya yang berharga terutama kepada pelajar dan golongan pendidik. Buku ini tidak hanya menyuntik semangat dan motivasi tetapi juga menyediakan panduan akhlak dan spiritual dalam proses menuntut ilmu. Dari sudut akademik dan rohani, karya ini berjaya menyampaikan mesej yang mendalam dengan bahasa yang indah dan hujah yang kukuh. Ia bukan hanya bacaan sekali lalu tetapi sebuah karya yang boleh dijadikan panduan berterusan dalam perjalanan ilmu.

Ringkasan buku oleh: Rosfadilla Binti Mohamad Zainun, Penolong Pustakawan Kanan