Kehidupan atau Sumud Flotilla: Bila Niat Ikhlas Mengubah Dunia - 16 April 2026
Hits: 30





Pekan, 16 April 2026 – Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan satu program perkongsian ilmu bertajuk “Kehidupan atau Sumud Flotilla: Bila Niat Ikhlas Mengubah Dunia” yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan UMPSA Pekan.
Program yang diadakan dari jam 10.00 hingga 12.00 tengahari itu menampilkan penceramah jemputan, Ustaz Muhammad bin Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kechik, seorang pendakwah dan aktivis kemanusiaan yang berkongsi pengalaman sebenar beliau dari medan misi kemanusiaan.
Sesi perkongsian ini memberi tumpuan kepada kisah di sebalik misi Sumud Flotilla, sekali gus membuka mata peserta terhadap realiti perjuangan kemanusiaan yang jarang diketengahkan.
Melalui penceritaan yang penuh emosi dan keinsafan, beliau menjelaskan faktor yang mendorong seseorang untuk keluar daripada zon selesa demi memperjuangkan nilai kemanusiaan sejagat.
Menurut beliau, keikhlasan niat menjadi asas utama dalam setiap tindakan, malah mampu memberi impak besar bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada masyarakat dan dunia secara keseluruhannya.
Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran seramai 158 peserta secara fizikal yang terdiri daripada staf UMPSA, pelajar serta pengunjung luar.
Program ini bukan sekadar sesi perkongsian biasa, malah menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran serta menyemai nilai empati dalam kalangan warga universiti terhadap isu-isu kemanusiaan global.
Para peserta yang hadir turut berpeluang mendengar sendiri pengalaman sebenar yang sarat dengan pengajaran, sekali gus memberi perspektif baharu dalam melihat erti pengorbanan, keprihatinan dan tanggungjawab sebagai insan.
Program tersebut turut memberi inspirasi kepada para peserta termasuk Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan UMPSA, Rohaida Mohamad Idaris yang berasa bertuah kerana berpeluang mendengar sendiri pengalaman sebenar dari salah seorang pejuang kemanusiaan yang bersemangat dan cekal.
Semoga semua peserta program ini sentiasa mendoakan dan tidak pernah lupa akan kesengsaraan saudara-saudara kita di Palestin ” ujarnya.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memberikan inspirasi serta membuka minda peserta bahawa satu langkah kecil yang lahir daripada niat yang ikhlas mampu membawa perubahan besar kepada dunia.
Disediakan oleh;
Puan Siti Zulaiha Abdullah
Pembantu Pustakawan
Disediakan oleh;
Puan Siti Zulaiha Abdullah
Pembantu Pustakawan